16 Jun 2016

7 Cara Asas Untuk Kurus Yang Sering Terlepas Pandang

Jom kita kurus yeah! Seperti yang dijanjikan dalam entri sebelum ini ZOP akan berkongsi pengalaman dan tips untuk kuruskan badan. Okay cukup dengan pendahuluan jom kita borak satu-satu cara untuk kurus dan entri ini amat sesuai untuk orang baru nak start untuk kurus atau penah start tapi tidak berjaya nak kurus.

ZOP Berjaya Menurunkan Berat Badan 8 kg

Jangan marah kalau anda lihat gambar ZOP di atas dan terfikir tak kan 8 kg sahaja turun? berapa lama pula setakat 8 kg hendak turun? Okay secara jujurnya memang ZOP yang target hendak turun sampai 70 kg sahaja sebab ZOP boleh dikatakan orang yang tinggi iaitu 175 cm jadi tidak cantiklah kalau terlalu kurus nanti nampak macam orang sakit pulakkan. (hehe..)

Sebenarnya ayat ZOP di atas itu pendahuluan sahaja untuk tips ZOP pada entri 7 cara asas nak kurus kali ni iaitu:

1. NIAT / TARGET

Hah! nampak macam tidak penting sahaja kan? cara pertama inilah banyak orang langkah dan salah pada awal lagi proses hendak kurus tapi percayalah niat atau target untuk kurus itu sangat penting untuk menentukan kaedah yang macam mana yang patut digunakan untuk kurus. Contohnya kalau anda nak kurus untuk kahwin ke atau apa-apa upacara yang perlu anda hadir dalam masa 2 bulan lagi ke? tak kan anda hendak buat senaman atau diet gaya macam upacara tu lagi 2 tahun kan? (hehe..) Kalau boleh cuba letakkan target dalam 3 bulan ke 6 bulan supaya tidak terlalu memaksa diri dan tidak mudah menyerah kalah.

Niat Sangat Penting Untuk Apa-Apa Pun

Dengan niat atau target jugalah membuatkan anda sentiasa mengekalkan anda dalam jalan yang betul, bila rasa malas sahaja sikit terus jerit dalam hati "aku nak kurus kurus kurus kurus!" (hamboi over la pulak hehe..)

2. JUJUR PADA DIRI

Jangan cepat rasa selesa dengan keadaan badan anda. Jujur pada diri anda kalau badan sudah rasa cepat letih, baju pakai pun sudah ketat, itu tanda-tanda yang anda perlu buat sesuatu untuk diri anda sendiri. Siapa lagi nak jaga diri kita kalau bukan kita sendiri, Kadang-kadang bukan bentuk badan sado atau cantik yang menjadi idaman, cukup sekadar kita kekal cergas dan sihat untuk mencari rezeki dan menggembirakan orang sekeliling kita itu lebih bermakna dalam hidup betul tak? yang penting jangan malas dan banyak alasan!

Sentiasa Jujur Dengan Diri Sendiri

3. PERSEKITARAN YANG MEMBANTU

Persekitaran yang membantu juga banyak orang terlepas pandang, tidak semua orang kuat semangat untuk tolak semua dugaan dalam dunia ni kan? (hamboi ayat..) jadi sebelum anda pergi ke langkah seterusnya untuk kurus cuba anda buka dulu peti ais rumah anda, banyak godaan makanan yang kurang berkhasiat tak? kalau boleh kurangkanlah dan kalau lagi bagus hilangkan dari pandangan mata anda terus lagi selamat. (hehe..) Selain itu cuba cari rakan-rakan yang boleh bagi sokongan dekat anda, jauhi kawan2 yang suka perli ni sebab sangat bahaya secara tidak langsung ia boleh menjatuhkan semangat anda. Lagi bagus kalau anda tak bagitahu orang pun pelan anda nak kurus ni, diam-diam biar mereka kagum dengan perubahan anda nanti. (surprise!)

Kurangkan Makanan Yang Kurang Berkhasiat

Selain itu, kalau boleh sediakan pakaian untuk bersukan berdekatan dengan anda contohnya dalam kereta ke? dekat ofis ke? bukan apa, jika anda terlintas sahaja hendak buat aktiviti yang sihat anda boleh terus sahaja pegi tanpa sebarang alasan, sebab bila kita lengah-lengahkan itulah yang selalu buat semangat anda akan hilang. Kalau boleh banyakkan menonton video kesihatan dan kecergasan, baca artikel yang boleh bagi tips macam blog ZOP ni ke (eyh terpromote pulak hehe..) untuk kekalkan semangat anda ditahap terbaik!

4. TINGKATKAN ILMU TENTANG MAKANAN YANG DIAMBIL

Okay dalam bab ini ZOP tidak ada masalah sangat sebab rakyat negara kita sebenarnya dah mula makin sedar tentang kandungan makanan yang diambil dan sebagainya, ya lah mana tidaknya, makin hari makin ramai orang tulis artikel tentang kandungan DNA khinzir dalam makanan sampai benda yang tidak logik ada pun ada orang yang tak bertanggungjawab sebarkan untuk memecah belahkan perpaduan yang sedia ada dalam negara kita ni. (haa tetiba ZOP emo pulak hehe..)

Tingkatkan Ilmu Tentang Makanan Yang Diambil

Sebenarnya ZOP cuma hendak ingatkan anda betapa pentingnya kita tingkatkan ilmu tentang makanan kerana 70% - 80% untuk mendapatkan badan yang anda idamkan adalah dari diet yang betul dan 20% - 30% datangnya dari senaman yang anda lakukan. Bila cakap pasal diet ke kurus ke kebanyakkan orang ingat elakkan makan atau sanggup berlapar, ITU CARA YANG SALAH, sebab itulah yang boleh menurunkan kadar metabolisme dalam badan anda kerana setiap hari badan anda perlukan kadar kalori yang mencukupi untuk fungsi tubuh anda, jadi kalau kadar kalori anda rendah maka tubuh akan mencari sumber lain untuk menggantikan kalori dan biasanya akan diambil dari jaringan otot anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pemakanan sila rujuk "Apakah itu Diet Sihat"

5. MULAKAN AKTIVITI YANG MENGELUARKAN PELUH

Bila mental anda sudah bersedia untuk kuruskan badan atau meningkatkan tahap kesihatan anda, langkah seterusnya adalah memulakan dengan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh dahulu, contohnya banyakkan berjalan ke, berjogging ke, untuk mendapatkan mood dulu sebab takut kalau terus ke gym, tambah pula pergi sesorang diri tidak ada orang yang membimbing silap-silap itu akan jadi aktiviti pertama dan terakhir anda di gym sebab tidak tahu buat dan tidak larat hendak angkat. (macam ZOP awal-awal dulu hehe..)

Mulakan Aktiviti Yang Mengeluarkan Peluh

Selain itu, bersukan juga adalah satu aktiviti yang bagus untuk mengeluarkan peluh dan ianya tidak bosan contohnya main badminton ke, futsal ke dan lain-lainlah cuma masalahnya nak kumpulkan kawan-kawan sahajalah (hehe..) tapi tidak mengapa, cari apa sahaja cara yang boleh anda biasakan diri anda dengan peluh. Percayalah bila anda selalu keluar peluh, badan anda akan terasa lebih segar dan dengan perasaan itulah yang akan membuatkan anda meningkatkan aktiviti sihat anda ke peringkat seterusnya contohnya melekat kat gym ke, panjat gunung ke atau apa-apalah yang boleh membuatkan anda sihat dan gembira. Tahu-tahu je badan anda pun makin kurus (hehe..)

6. BANYAKKAN MINUM AIR KOSONG

Nampak macam mudah kan, tapi percayalah air manis lagi sedap kan? sedap untuk sekarang sahajalah, (hehe..) bila anda berumur dan mula rasa kesan dari perbuatan anda itu barulah anda terfikir, kenapalah kita tidak mengamalkan banyak minum air kosong, dah lah menyihatkan badan malah membantu anda kurus pulak tu, jadi anda pilih sedap ke sihat? (hehe..)

Banyakkan Minum Air Kosong

Okay cakap pasal air ni sebenarnya dalam tubuh kita ini diliputi air sebanyak 70%, jadi tubuh kita memang sangat memerlukan air untuk berkerja dan salah satunya prosesnya adalah membakar lemak, dan segala bahan yang tidak diperlukan dalam badan termasuk lemak akan dikeluarkan melalui peluh dan juga dengan anda membuang air, jadi dengan anda meminum air kosong dengan banyak (lagi banyak lagi bagus hehe..) ianya dapat membantu dan melancarkan segala proses yang perlu badan anda lakukan dengan sempurna. Ianya juga dapat membantu mengawal suhu badan anda, penyerapan nutrisi yang baik dan dapat mengawal nafsu makan anda. Haa! itulah yang kita mahukan, barulah boleh kurus dan sihat.

7. TIDUR YANG CUKUP

Dalam bab ini sebenarnya bab paling penting kerana dengan tidurlah semua proses yang diperlukan untuk anda kurus ke, awet muda ke, untuk otot pulih dan mengembang ke, semuanya berlaku masa anda tidur, jadi kalau anda tidak cukup tidur memang anda akan terlepaslah segala proses itu, dengan anda pun akan lesu dan tidak bermaya sepanjang hari, selepas itu anda pun malas nak bersenam sebab penat. Haa! perlu ke anda jadi seperti itu. Ingat langkah pertama anda nak kurus tadi iaitu niat dan target anda, pasti anda akan kembali semangat kembali.

Tidur Yang Cukup

Selain itu cuba ajar diri anda supaya tidur awal dan bangun awal pagi (6 - 8 jam satu hari) kerana kalau kita tidak cukup tidur badan kita menghasilkan lebih banyak hormon ghrelin (memberi signal lapar kepada anda) dan itulah yang kita tidak mahu takut akhirnya kita berada di kedai mamak tengah malam makan pula. (hehe..)

Jadi itu sahajalah perkongsian ZOP pada entri kali ini, harap dapat membantu anda yang baru sahaja terfikir untuk menguruskan diri dan yang penting bukan soal tubuh badan yang cantik menjadi keutamaan tapi kesihatan ditahap terbaik yang kita mahukan. Yang paling penting disiplin okay! jangan hangat tahi ayam sahaja, sebarang komen untuk penambahbaikkan amat dialukan kerana kebanyakkan entri ZOP adalah dari pengalaman dan perkongsian daripada sahabat-sahabat ZOP dan banyak lagi tips, info dan perkongsian yang akan ZOP paparkan dalam entri seterusnya.

So tungguuuuu..

ZOP OUT!

Do Follow Me
Instagram : @iamzakrirozaini
Twitter : @ZakriRozaini
Facebook : Zakri Rozaini

" Those who cannot change their minds cannot change anything. "

2 comments

bagus tip ni saya tak pernah pun letak baju kat kereta.

yup.. saya selalu buat.. habis jer kerja ataupun tengah tiada aktiviti terus jer tukar baju dalam kereta.. memang tak sempat nak buat alasan lagi.. hehe..


EmoticonEmoticon